Isra' dan Mi'raj:
Ganjaran hasil dari kesabaran
Sebelum Nabi SAW menjalani peristiwa Israk dan Mikraj, jiwa Nabi SAW amat sedih dan amat berkecil hati. Ini kerana, sifatnya sebagai manusia biasa yang berhadapan dengan pelbagai ujian dakwah, sedikit sebanyak membawa kesan terhadap dirinya. Rasa lemah, sedih, sakit, kecil hati dan sebagainya menyelubungi diri Nabi SAW.
Ya, ini kerana hakikat Nabi SAW adalah seorang manusia biasa seperti kita. Baginda memikul urusan dakwah dengan amat berat. Sudah menjadi lumrah, apabila seseorang itu memikul urusan dakwah. Sudah pasti ia akan berhadapan dengan pelbagai jenis ujian, Nabi SAW tidak terkecuali dalam hal ini.
Baginda merasai sakit ketika dibaling batu. Rasa sedih tika diejek gila oleh orang ramai. Dibalas dengan perbuatan keji, sedangkan Baginda datang untuk tujuan dakwah tanpa kepentingan untuk diri sendiri dan pelbagai lagi.
Sebelum berlaku peristiwa besar ini, di samping berhadapan dengan rintangan yang pelbagai, pada tahun itu Nabi SAW telah kehilangan bapa saudaranya yang tercinta iaitu Abu Talib. Wafatnya isteri Nabi yang tercinta yang selalu membantu dan memberi sokongan kepada Nabi SAW. Dihalau oleh penduduk Quraisy keluar daripada kota Mekah ketika tidak ada lagi perlindungan daripada bapa saudaranya.
Dibaling batu tika berdakwah ke kota Taif sehingga mengalir darah Nabi dari atas hingga ke bawah, serta banyak lagi ujian yang Nabi tempuh. Sehingga pada tahun itu popular dengan gelaran tahun kesedihan bagi Nabi dan umat Islam seluruhnya. Kadangkala, sakit hati lebih mendalam kesannya daripada sakit luaran.
Kita bayangkan, betapa sedihnya Nabi kerana kehilangan bapa saudaranya yang selama ini menjadi benteng dakwah daripada kejahatan kaum Quraisy, yang selalu memberi kata-kata semangat, menyara Nabi SAW daripada kecil hingga besar, bermatian-matian mempertahankan Nabi SAW daripada dihina dan sebagainya. Besarnya jasa Abu Talib kepada Nabi SAW sehingga membuatkan Nabi SAW terlalu sedih.
Kesedihan ini ditambah lagi dengan kematian isterinya yang tercinta iaitu Saidatina Khadijah. Isteri yang berkorban segala-galanya untuk suami, sangat amanah dan jujur, sentiasa bersama dengan Nabi SAW sama ada senang atau susah dan lain-lain amat membawa kesan kepada jiwa Nabi SAW.
Selepas kematian bapa saudaranya dan isterinya. Kesedihan dan derita bertambah lagi apabila tiada lagi pembelaan sehingga diletakkan najis binatang di atas kepala Nabi SAW. Mereka benar-benar menggunakan peluang untuk menyeksa Nabi SAW.
Peristiwa ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, katanya, “Ketika Nabi SAW sedang solat di sisi Kaabah, Abu Jahal dan teman-temannya sedang duduk di situ. Semalamnya seekor unta telah disembelih. Lalu Abu Jahal berkata, “Siapakah di antara kamu yang akan pergi ambil tembuni atau uri unta yang disembelih oleh bani fulan, kemudian meletakkannya di antara dua bahu Muhammad ketika dia sujud?” lantas orang yang paling celaka di antara mereka bangun lalu pergi mengambil tembuni itu.
Ketika Nabi SAW sujud, dia pun meletakkan uri itu di antara dua bahu baginda. Mereka pun tergelak dan ketawa terbahak-bahak sesama mereka. Aku pula sedang berdiri melihat sahaja. Kalaulah aku ada kekuatan, sudah pasti aku akan membuang uri itu dari atas belakang baginda. Namun Nabi SAW tetap sujud tanpa mengangkat kepalanya, sehingga seorang lelaki pergi memberitahu Fatimah. Beliau yang masih kecil lagi ketika itu terus datang lalu membuang uri itu daripada Nabi SAW.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita bayangkan betapa sedihnya Nabi ketika itu diuji dan dihina begitu sekali. Sekali sekala apabila kita membaca kisah ini, kita lihat pula diri kita. Adakah dinamakan dakwah jika kita bersenang-lenang duduk goyang kaki tanpa melakukan apa-apa pengorbanan.
Walaupun pengorbanan kita tidak sama dengan Nabi, tetapi kita hendaklah tahu bahawa dakwah itu pasti akan menagih pengorbanan daripada kita, tidak banyak, sedikit pasti ada. Rasa kehilangan masa, harta, keletihan dan sebagainya. Janganlah mudah rasa putus asa di atas jalan dakwah, percayalah bahawa ada insan yang lebih teruk ujiannya daripada kita[truncated by WhatsApp]